Semalam, tragedi nahas pesawat terhempas di Elmina telah heboh satu Malaysia. Kelihatan banyak video dari orang awam tersebar luas yang memaparkan salah seorang mangsa nahas terbakar, saat-saat pesawat terhempas jatuh dan meletup berlegar di media platform.
10 Mangsa Terkorban. 8 Dalam Pesawat, 2 Pengguna Jalan Raya
Menurut laporan yang dilihat dari Buletin TV3, 10 mangsa dilaporkan terkorban dalam nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, pada petang semalam.
Difahamkan, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua jurutera serta pembantunya dimaklumkan gagal dikawal sebelum pesawat terbabit terhempas di Elmina, pada jam kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pesawat terbabit yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang. Namun pesawat itu kemudiannya dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
Pesawat Rempuh Sebuah Kereta Dan Motosikal
“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan”, jelasnya dalam sidang media di lokasi kejadian. Menurut Hussein lagi, pihak beliau dapat menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban buat masa ini.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dikatakan mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan marak api yang menyambar di jalanan. Kesemua mayat juga dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk sesi bedah siasat.
Kredit: Buletin TV3