Seorang lelaki yang juga bergelar bapa tergamak mencekik anaknya sendiri yang berusia 12 tahun sehingga mati akibat enggan menuruti permintaannya untuk bermalam di rumahnya.
![]()
Cekik Anak Sendiri Hingga Maut
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Metrojambi, difahamkan kejadian berlaku di negara sebelah yang terletak di Kampung Tambang Baru, Jambi, Indonesia pada 18 Februari yang lalu. Menurut Ketua Polis Merangin iaitu Ruri Roberto, beliau memaklumkan bahawa suspek yang dikenali sebagai Abdullah, 33, pada mulanya hanya mahu menghabiskan masa bersama anaknya dengan bermain layang-layang.
Kemudiannya mangsa meminta izin untuk pulang ke rumah ibunya, yang menetap di kediaman berasingan selepas berpisah dengan suspek. Namun suspek tidak membenarkan anaknya itu ke rumah bekas isterinya walaupun mangsa berkeras mahu pulang jua.
Gara-gara terlampau marah, suspek bertindak mencekik leher mangsa sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Berjaya Diberkas Polis
Mengulas lanjut, perbuatan suspek terbongkar selepas bapa saudara mangsa berkunjung ke rumah dan melihat suspek sedang menggali tanah. Dengan hati penuh rasa curiga, bapa saudaranya segera masuk ke dalam rumah untuk memeriksa keadaan sekeliling dan terkejut melihat anak saudaranya terbaring tidak sedarkan diri.
Suspek berjaya ditahan polis sejurus bapa saudara mangsa menghubungi pihak berkuasa.
Kredit: portal Metrojambi