Suasana pagi di sebuah apartmen di Kajang, Selangor bertukar pilu apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan kediaman berkenaan pada pagi Isnin.

Suara Sayup Minta Tolong, Kanak-Kanak11 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat Tujuh Apartmen

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.50 pagi ketika kebanyakan penduduk memulakan rutin harian masing-masing. Menurut saksi, keadaan yang kebiasaannya tenang dikejutkan dengan suara sayup seorang kanak-kanak yang meminta pertolongan dari kawasan taman permainan apartmen tersebut.

Beberapa jemaah surau yang baru selesai menunaikan solat Subuh bersama penduduk berhampiran kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima makluman menerusi notifikasi komuniti mengenai seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh. Mangsa ketika itu dilaporkan masih memakai beg sekolah.

Menurut seorang ibu kepada rakan sekelas mangsa, Puan Nurul Naili, guru mangsa memaklumkan bahawa kanak-kanak berkenaan masih memakai beg sekolah dan memeluk botol air ketika kejadian berlaku.

Panggilan kecemasan segera dibuat sejurus kejadian. Kira-kira jam 7.30 pagi, pasukan ambulans dan polis tiba di lokasi bagi menjalankan tindakan serta siasatan lanjut.

Mangsa yang dikenali sebagai Muadz Radziq bin Muhd Nurizman, seorang murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Nilai (SRITIN), kemudiannya disahkan meninggal dunia. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Insiden tersebut mengundang kesedihan dalam kalangan penduduk setempat dan mereka yang mengikuti perkembangan kes berkenaan. Orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga arwah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat berat itu.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]