Lima pelanggan restoran dilaporkan mengalami muntah darah selepas termakan sejenis hidangan pencuci mulut di sebuah restoran di negara India.

Mangsa Menjerit Dan Menangis Kesakitan Selepas Makan Makanan Tersebut

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Majoriti Official, difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kafe Laforessta yang terletak di Sektor 90 Gurugram, New Delhi pada Sabtu lalu. Ketika kejadian, mangsa iaitu Ankit Kumar bersama isteri dan rakan-rakannya dikatakan menikmati makan malam di premis berkenaan.

Selepas makan malam, seorang pelayan di restoran terbabit membawa hidangan pencuci mulut dan lima daripada mereka telah menjamahnya. Namun beberapa minit kemudian, kesemua mereka dilihat muntah dan mengalami luka di bahagian dalam mulut. Dalam video yang kian tular di media sosial itu, ia dapat dilihat kesemua mansga menjerit dan menangis kesakitan selepas menjamah makanan tersebut.

Termakan Ais Kering Yang Berasid

Pada masa yang sama, salah seorang daripada mangsa dilihat muntah dengan lidahnya berdarah, manakala seorang lagi wanita meletakkan ais ke dalam mulutnya untuk mengurangkan rasa kesakitan.

“Kami tidak tahu apa yang mereka campurkan ke dalam pencuci mulut. Semua orang di sini muntah darah. Lidah mereka mengalami luka dan mulut mereka terasa pedih,” kata Kumar.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Kumar menunjukkan bungkusan pencuci mulut yang dimakan itu kepada pihak berkuasa.

“Menurut doktor, ia adalah ais kering dan berasid yang boleh menyebabkan kematian,” ujarnya lagi.

Kesemua mangsa akhirnya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap kes itu susulan laporan yang dibuat oleh mangsa.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]