Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila lagu nyanyiannya, Anta Permana, terpilih sebagai salah satu lagu kegemaran Raja Britain, Raja Charles III.

Lagu Anta Permana Pilihan Raja Charles III, Siti Nurhaliza Terus Harumkan Nama Malaysia

Penghormatan ini diberikan sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel, dengan lagu berkenaan dimasukkan dalam senarai khas di platform Apple Music yang diberi nama His Majesty King Charles III’s Playlist.

Dato Siti menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan tidak menyangka bahawa karya tersebut mendapat perhatian istimewa daripada keluarga Diraja Britain.

Beliau turut berkongsi penghargaan kepada komposer lagu itu, Hael Husaini dan Ezra Kong, yang berjaya menghasilkan karya yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Selain Anta Permana, senarai lagu pilihan Raja Charles III turut menampilkan pelbagai genre dan artis terkenal dunia seperti Diana Ross, Bob Marley, Michael Bublé, dan Grace Jones. Antara lagu lain yang turut tersenarai termasuk Crazy In Love nyanyian Beyoncé, Love Me Again daripada Raye, serta The Loco-Motion oleh Kylie Minogue.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]