Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak tiga hari lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipercayai dibunuh selepas mayatnya ditemukan di kawasan semak di atas bukit Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada Rabu.
![]()
Kanak-kanak Hilang Tiga Hari Dipercayai Dibunuh, Dua Lelaki Ditahan
Mangsa, Nurjilya Abdullah, 11, ditemukan dalam keadaan telah mereput berhampiran sebuah rumah yang masih dalam pembinaan. Identiti kanak-kanak itu kemudiannya disahkan sendiri oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, penemuan mayat itu bermula selepas polis menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira jam 10.38 malam. Beliau berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pasukan forensik di lokasi mengesahkan mayat mangsa telah berada dalam keadaan mereput sebelum dihantar untuk proses bedah siasat.
Hasil pemeriksaan Pakar Perubatan Forensik mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kecederaan serius pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
![]()
Susulan penemuan itu, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
Menurut Syed Lot, sehingga kini motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi serta mengumpul bukti yang berkaitan. Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.
![]()
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: Sinar Harian