Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki didakwa bertindak kasar serta mengugut seorang wanita dipercayai ibunya menggunakan objek tajam di hadapan sebuah pejabat zakat di Sungai Petani.

Video dibawah:
https://www.threads.com/@ciksueeeeeeeeeeee/post/Day9TZkj7kg?xmt=AQG0cHBJtiriBJgzp0w8_VOmbHBQWtDAKXKPwXgc2hi9ygTIH-5JvfW3y6nu5dXLxeDkoBHs&slof=1

Video Lelaki Didakwa Ugut Ibu Dengan Objek Tajam Di Pejabat Zakat Disiasat

Rakaman berdurasi beberapa saat itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial selepas wanita berkenaan dilihat hanya berdiam diri sambil menggenggam tangan ketika anaknya bercakap dengan nada tegas. Video tersebut turut menarik perhatian ramai yang meluahkan kebimbangan terhadap keadaan wanita terbabit.

Susulan penularan video berkenaan, Pegawai Zakat Daerah Kuala Muda, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin mengesahkan pihaknya telah menerima kunjungan pihak polis bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian tersebut. Menurut beliau, urusan melibatkan lelaki terbabit bersama ibunya di pejabat zakat sebelum kejadian berlaku dalam keadaan baik tanpa menunjukkan sebarang perkara mencurigakan.

Ahmad Mustaqim memaklumkan lelaki berusia lingkungan 30-an itu merupakan anak tunggal kepada wanita berusia sekitar 50-an yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) mental. Jelasnya, kedua-dua beranak itu hadir ke pejabat zakat bagi menghantar sebut harga berkaitan kerja-kerja membaiki rumah mereka di Kampung Segantang Garam, Merbok yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku kekasaran terhadap wanita tersebut, Ahmad Mustaqim berkata perkara itu kini diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas satu laporan dibuat oleh individu yang menyaksikan kejadian berkenaan.

Beliau turut menegaskan pihak zakat bersedia memberikan kerjasama kepada semua pihak bagi membantu memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan sewajarnya. Dalam pada itu, pihak zakat turut memaklumkan bantuan membaik pulih kediaman keluarga terbabit telah diluluskan selepas mendapati rumah mereka berada dalam keadaan daif.

Selain bantuan tersebut, pemantauan terhadap keluarga berkenaan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Penolong amil di kawasan terbabit juga akan diminta untuk memberi nasihat serta memantau keadaan keluarga itu bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

Difahamkan, lelaki terbabit telah ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan, manakala ibunya pula telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kredit: Sinar Harian, Thread ciksueeeeeeeeeeee

[fbcomments]