Kehilangan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan tidak dapat dikesan sejak lima hari lalu berakhir dengan tragedi selepas mayatnya ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kilometer 8.2, Jalan Kluang–Kota Tinggi awal pagi ini.

Remaja 15 Tahun Hilang Selepas Keluar Rumah, Ditemukan Maut Bersama Motosikal

Mangsa, Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, ditemukan oleh orang awam sekitar jam 2.30 pagi bersama motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya. Remaja itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian yang dipercayai melibatkan kemalangan motosikal terbabas sendiri di lokasi berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kemalangan tersebut hanya membabitkan motosikal yang ditunggang mangsa tanpa melibatkan kenderaan lain. Beliau berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat serta tindakan lanjut. Polis kini masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, keluarga Muhammad Nasrulhaq memohon bantuan orang ramai menerusi media sosial selepas remaja berkenaan dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu. Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Felda Simpang Waha kira-kira jam 11 malam dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC sebelum gagal dikesan sehingga ditemukan meninggal dunia.

Kredit: Facebook Polis Daerah Kota Tinggi

 

[fbcomments]