Susulan insiden lafaz cerai yang dibuat secara langsung oleh suami kepada pempengaruh media sosial Siti Jamumall, pendakwah bebas PU Syed tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu yang kini tular di media sosial.
![]()
Sudah Cukup 3 Kali Lafaz Talak Jika Disabitkan
Menurut beliau, isu cerai bukan sesuatu yang boleh dibuat main, apatah lagi dilakukan secara terbuka kepada umum. Perkara sebegitu perlu dirujuk segera ke Mahkamah Syariah kerana hanya mahkamah yang mempunyai kuasa menentukan sah atau tidaknya lafaz cerai tersebut.
“Kes begini perlu dibawa ke mahkamah. Mereka yang lebih layak dan berautoriti untuk buat keputusan dalam hal rumah tangga mengikut undang-undang keluarga Islam,” jelasnya.
Mengulas lanjut, PU Syed berkata difahamkan pasangan berkenaan pernah bercerai sebelum ini. Dalam siaran langsung yang tular malam semalam, suami Siti Jamumall melafazkan cerai talak dua sebanyak tiga kali.
“Difahamkan mereka telah bercerai sebelum ini dan kali ini lafaz kedua talak diberikan. Ia telah mencukupkan kepada 3 kali maksimum, maka talak ini disebut Talak Bain Kubro yang mana jika disabitkan sahnya cerai yang dilafazkan itu, mereka tidak boleh lagi rujuk sehinggalah isterinya itu bernikah dengan suami yang lain,” jelasnya.
![]()
Lafaz Jelas Seperti “Aku Ceraikan Kau” Dianggap Sah
Mengikut pandangan jumhur ulama, termasuk Mazhab Syafi’e, sebarang lafaz cerai yang jelas seperti “aku ceraikan kau” tetap dianggap sah selagi suami melafazkan dalam keadaan sedar dan waras.
“Kalau lafaznya terang dan jelas, dan suami masih sedar, maka ia tetap sah. Walaupun ketika itu marah atau sedang beremosi, jika dia tahu apa yang dilafazkan, cerai tetap berlaku,” ujarnya.
Dalam masa sama, PU Syed turut menyentuh tentang keadaan isteri yang sedang hamil. Katanya, dari sudut hukum Islam, cerai ketika isteri mengandung adalah harus, iaitu tidak haram dan tidak juga makruh.
Namun beliau mengingatkan, tindakan sebegitu boleh membawa tekanan emosi yang besar kepada wanita dan turut memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan.
![]()
“Suka diingatkan, seseorang isteri yang mengandung akan menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang perasaan untuk memikirkan tentang kesempurnaan bayi dalam kandungannya.”
“Apabila berlaku perceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekali gus menjejaskan kesempurnaan bayi dan mengganggu kesihatan ibu.”
“Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira aspek dan melakukan semua ikhtiar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri,” tambahnya.
Beliau menasihati agar suami berfikir sedalam-dalamnya sebelum melafazkan cerai dan cuba sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga sebelum mengambil keputusan terakhir.
![]()
PU Syed turut mengingatkan bahawa isu serius seperti nikah, cerai dan rujuk tidak sepatutnya dijadikan bahan tontonan atau kandungan media sosial semata-mata untuk menarik perhatian netizen.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan ini pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu. Mereka kemudiannya rujuk semula dalam masa kurang daripada 24 jam selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai terdahulu.
Kini, insiden lafaz talak yang dibuat secara langsung sekali lagi mengundang perhatian ramai dan menimbulkan persoalan mengenai kesedaran masyarakat tentang kesan lafaz cerai dalam Islam.
Kredit: Mstar