Satu kemalangan besar membabitkan dua perkhidmatan kereta api dilaporkan berlaku di Bekasi Timur, Jakarta, Indonesia pada malam 27 April kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa manakala 84 penumpang lain cedera.
Insiden itu membabitkan tren KA Argo Bromo Anggrek laluan Gambir–Surabaya Pasar Turi yang dipercayai merempuh bahagian belakang KRL Tokyo Metro 5568A yang sedang bergerak dari Kampung Bandan menuju Cikarang sebelum berhenti di stesen berkenaan.
![]()
Perlanggaran Dahsyat Tren Di Indonesia, 7 Terbunuh 81 Cedera
Menurut Pengarah Urusan PT Kereta Api Indonesia, Bobby Rasyidin, perlanggaran kuat itu menyebabkan bahagian belakang gerabak mengalami kerosakan teruk, dengan beberapa penumpang turut terperangkap di dalam tren.
Pasukan penyelamat mengambil masa hampir lapan jam untuk mengeluarkan semua mangsa termasuk yang cedera, dengan jumlah 12 gerabak berjaya dialihkan ke Stesen Bekasi selepas operasi menyelamat dilakukan secara berhati-hati.
![]()
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat laporan terkini, operasi menyelamat berjaya diselesaikan walaupun masih terdapat gangguan kepada perkhidmatan kereta api. Laluan ke arah Jakarta telah dibuka semula namun operasi terhad kepada satu landasan sahaja, menyebabkan perjalanan menjadi lebih perlahan daripada biasa.
Dalam pada itu, pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian dengan beberapa kemungkinan dikenal pasti termasuk kegagalan isyarat, pelanggaran arahan lampu merah, masalah komunikasi operasi serta kesilapan prosedur keselamatan. Pakar pengangkutan turut menjelaskan bahawa sistem ‘absolute block’ sepatutnya menghalang tren lain memasuki laluan yang masih digunakan bagi mengelakkan perlanggaran seperti ini berlaku.
![]()
Insiden ini turut mengimbau beberapa tragedi kereta api sebelum ini di Indonesia, termasuk kemalangan pada tahun 2023 di Jawa Timur yang mengorbankan 11 nyawa serta kejadian pada tahun 2024 di Jawa Barat yang turut meragut empat nyawa.
Kredit: Berita Harian, CNBC Indonesia