Seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, Azman Mazni dilaporkan maut dalam satu kemalangan, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada kenalan rapatnya.
![]()
Perjalanan Demi Keluarga Berakhir Tragedi, Rakan Dedah Kisah Pengorbanan Pegawai Imigresen Redah 700KM
Rakan baik arwah, S Faizzul Syar menerusi perkongsian di media sosial memaklumkan beliau menerima berita tersebut daripada rakan di Depot Imigresen Sabah selain panggilan dari Bintulu. Apa yang lebih menyayat hati, arwah difahamkan masih sempat berinteraksi dalam kumpulan WhatsApp sekitar jam 8 malam sebelum kejadian berlaku, tanpa sesiapa menyangka ia menjadi komunikasi terakhirnya.
Menurut S Faizzul, arwah dikenali sebagai seorang yang sangat komited terhadap keluarga apabila sanggup menempuh perjalanan jauh setiap minggu sejauh lebih 700 kilometer dari Depot Imigresen Papar menuju ke Miri atau Sibu. Perjalanan itu bukan sekadar rutin biasa, sebaliknya usaha untuk meluangkan masa bersama ibu di Miri serta isteri dan anak di Sibu, termasuk melalui laluan merentasi Brunei.
![]()
Arwah juga sebelum ini kerap menyuarakan hasrat untuk berpindah tempat kerja agar lebih dekat dengan keluarga, malah usaha telah dilakukan dan mendapat sokongan di peringkat negeri, namun masih belum mendapat kelulusan daripada pihak ibu pejabat.
Tambahnya lagi, hubungan mereka bukan sekadar rakan sekerja, malah telah terjalin sejak zaman persekolahan hingga ke alam pekerjaan. Kali terakhir mereka berhubung, arwah sedang dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga tercinta.
“Dekat dah, sikit lagi nak sampai rumah… itu mungkin last ride dia,” katanya.
![]()
Kenangan tersebut menjadi antara momen terakhir yang sukar dilupakan, apatah lagi arwah dikenang sebagai individu yang banyak membantu rakan-rakan termasuk ketika isterinya baru melahirkan anak.
S Faizzul turut menzahirkan rasa terima kasih atas segala kebaikan arwah serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
Kredit: Facebook S Faizzul Syar