Sepuluh pelancong Malaysia berusia lingkungan 21 hingga 37 tahun dikenakan denda oleh pihak berkuasa Thailand selepas didapati memandu secara berbahaya di sekitar daerah Hat Yai pada awal pagi Jumaat lalu.
![]()
10 Pelancong Malaysia Didenda 5000 Baht Kerana Memandu Secara Berbahaya Di Hat Yai
Menurut Ketua Polis Kohong Hat Yai, Kolonel Polis Apichat Wannako, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi berhampiran kawasan Bazaar Getaway, hasil aduan daripada penduduk tempatan yang risau dengan keselamatan lalu lintas di kawasan tersebut.
Siasatan lanjut membawa kepada penemuan enam buah kenderaan berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai dan digunakan dalam kegiatan memandu secara merbahaya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut membantu pihak polis dalam mengenal pasti dan menjejaki kesemua suspek.
![]()
![]()
“Kesemua pelancong yang terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita itu telah ditahan dan mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Mereka masing-masing dikenakan denda sebanyak 5,000 Baht (kira-kira RM648.64) sebelum dibebaskan pada hari Ahad,” jelas Apichat dalam satu kenyataan kepada media.
Dalam masa sama, pihak polis Thailand turut mengingatkan semua pelancong asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang tempatan ketika berada di negara itu, khususnya berkaitan keselamatan jalan raya, bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
Kredit: Sinar Harian