Tragedi menyayat hati menimpa dua beradik di Kabupaten Pesisir Barat, Lampung, Indonesia apabila mereka ditemui tidak bernyawa dalam keadaan berpelukan di sebuah kebun, selepas dilaporkan hilang ketika keluar mencari durian.
Kejadian yang berlaku pada Rabu lalu itu menggemparkan penduduk setempat, apatah lagi mangsa masing-masing baru berusia 8 dan 4 tahun.
![]()
Dua Beradik Ditemui Maut Dalam Pelukan Ketika Keluar Mencari Durian
Menurut Pengarah Direktorat Siasatan Jenayah Polis Lampung, Pesuruhjaya Senior Pahala Simanjuntak, siasatan awal mendapati terdapat kesan luka pada tubuh kedua-dua kanak-kanak terbabit termasuk kecederaan serius di bahagian kepala akibat objek tajam.
Lebih menyedihkan, salah seorang daripada mereka turut mengalami kecederaan parah hingga lengan terputus. Bahagian tubuh yang hilang itu bagaimanapun telah ditemui semula di lokasi kejadian.
“Siasatan masih dijalankan. Kami sedang kumpul bahan bukti dan mengenal pasti suspek. Setakat ini, lebih daripada dua saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
![]()
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua adik beradik itu sempat meminta izin daripada ibu bapa mereka untuk ke kebun mencari durian. Namun, selepas tidak pulang sehingga tengah hari, penduduk kampung segera melancarkan operasi mencari.
Pihak polis kini sedang giat meneruskan siasatan bagi merungkai punca sebenar insiden tragis ini dan mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Kredit: CNN Indonesia