Kes tragik melibatkan seorang wanita yang maut dipercayai akibat dikelar suaminya sendiri di sebuah rumah di Bukit Gambir terus meruntun hati keluarga dan masyarakat setempat.

Suspek, seorang lelaki berusia 33 tahun, bukan sahaja disyaki mencederakan isterinya sehingga meninggal dunia, malah turut bertindak membakar empat kenderaan milik keluarga mentuanya. Dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tragedi Isteri Dikelar Suami: Keluarga Mangsa Tidak Sangka Pemergian Dalam Keadaan Menyayat Hati

Jenazah mangsa, yang dikenali sebagai Iecah, dibawa pulang ke kediaman ibu bapanya di Kampung Pengkalan Kota dari Hospital Melaka pada malam Selasa selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Ketibaan jenazah disambut dalam suasana hiba. Bapa mangsa, Junus Kassim, 74, tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila melihat wajah anak perempuannya buat kali terakhir.

“Kalau dia meninggal sebab sakit, saya boleh terima. Tapi cara dia pergi tu yang saya tak boleh terima,” luahnya dalam keadaan lemah sambil dipapah ahli keluarga.

Ibu mangsa, Fatimah Seman, 63, serta tiga lagi anak mereka turut tidak dapat menahan air mata ketika menatap jenazah sebelum dikebumikan.

Allahyarham Iecah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Chondong pada jam 8 malam dalam suasana penuh emosi dan kesayuan.

Siasatan awal pihak polis memaklumkan bahawa punca kejadian dipercayai berpunca daripada konflik dalaman rumah tangga. Namun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

[fbcomments]