Seekor gajah liar jantan dewasa yang dikenali sebagai Sulong Chalil masih dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik selepas dipercayai bergerak semula menuju kawasan asalnya di Chalil, Gua Musang.

Sulong sebelum ini dipindahkan Perhilitan dari Gua Musang ke kawasan hutan di Gerik melalui operasi translokasi bagi mengurangkan risiko konflik dengan penduduk, termasuk gangguan terhadap tanaman. Gajah berkenaan mula dikesan di JRTB sejak 17 Ogos lalu dan dipercayai masih meneruskan perjalanan pulang.

Sulong Cedera Tetap Teruskan Perjalanan Pulang Ke Gua Musang, Perhilitan Terus Pantau

Dalam perkembangan terbaharu, Perhilitan memaklumkan Sulong mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan, namun keadaan fizikal dan tingkah lakunya masih normal serta ia masih mampu makan dan bergerak dengan baik. Luka pada kakinya juga semakin kering dan menunjukkan tanda pemulihan.

Perhilitan telah mengambil tindakan menggiring Sulong kembali ke kawasan hutan, namun haiwan itu masih kembali ke jalan raya menyebabkan pemantauan dan operasi menggiring diteruskan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam. Penilaian doktor veterinar turut diperoleh bagi menentukan keadaan kecederaan serta keperluan tindakan susulan.

Orang ramai turut diminta tidak berhenti atau keluar dari kenderaan, mengambil gambar atau merakam video, memberi makanan mahupun melakukan provokasi terhadap Sulong kerana ia boleh mengganggu aliran trafik dan membahayakan pengguna jalan raya serta haiwan berkenaan.

Kredit: Kosmo!

 

 

[fbcomments]