Seorang wanita meluahkan kekecewaannya di media sosial selepas mendakwa suaminya telah berkahwin dengan wanita lain ketika mereka masih bergelar suami isteri dan sedang menanti kelahiran cahaya mata.

Video di bawah:

https://www.tiktok.com/@nurainannashwa/photo/7516068556967038226

Hampir 10 Tahun Berkahwin, Wanita Dedah Suami Bernikah Lagi Ketika Dirinya Sarat Hamil

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh Nur Ain An-Nashwa di media sosial, di mana beliau meluahkan rasa pilu selepas mendapati lelaki yang telah dinikahinya hampir 10 tahun mengambil keputusan untuk mendirikan perkahwinan kedua saat dirinya sedang sarat mengandung.

Menurutnya, ketika majlis perkahwinan mereka dahulu berlangsung secara sederhana, beliau pernah menyimpan impian untuk bersanding semula dalam busana lengkap suatu hari nanti. Namun impian itu kini hanya tinggal kenangan apabila suaminya ‘mewujudkan’ suasana idaman tersebut bersama wanita lain.

Dalam perkongsian sama, Ain turut mendedahkan bahawa tindakan suaminya itu berpunca daripada rasa kesunyian yang dialaminya. Namun bagi Ain, perbuatan itu tetap meninggalkan luka yang dalam terhadap dirinya dan anak-anak.

“10 tahun..aku setia jadi penunggu. Jadi si setia yang lurus percaya. Aku simpan kemas angan-angan tu dalam-dalam.

“Tahun ke-10..dengan kandungan yang masih sarat dalam rahim aku..dia dengan tanpa ihsan meluahkan bahawa dia dah berkahwin lain demi memenuhi rasa sunyi yang wujud dalam hati dia,” tulisnya.

Tambah Ain lagi, dia berasa seolah-olah telah disingkirkan dari kehidupan suaminya apabila dirinya dan anak-anak tidak lagi ditonjolkan di media sosial.

“Kini aku dan anak-anak dibuang ke tepi jauh dari alam maya, dihapus kan dari cerita dunia , dulu aku la ratu, sekarang aku hanya bayangan, dia bina mahligai lain,” luahnya lagi.

Ujar Ain, meskipun perasaan kecewa itu mendalam, dia tetap kuat demi anak-anak dan tidak mahu runtuh di hadapan mereka.

“Aku masih di sini, bukan kerana aku kuat, tetapi kerana ada anak-anak yang masih memerlukan seorang ibu yang tidak hancur di hadapan mata mereka,” ujarnya di akhir kata.

Kredit: TikTok & FB Nur Ain An-Nashwa

 

 

[fbcomments]