Satu-satunya penumpang yang terselamat dalam insiden nahas pesawat Air India minggu lalu, Vishwashkumar Ramesh, hadir dalam keadaan sebak ketika mengiringi jenazah abangnya, Ajay, yang merupakan antara 241 mangsa terkorban dalam tragedi tersebut.
Mangsa Terselamat Nahas Air India Hadir Pengebumian Abang Dengan Luka Masih Berbalut
Dalam upacara pengebumian yang berlangsung di Diu, barat India, Ramesh kelihatan sugul dan emosional ketika mengusung keranda abangnya. Beliau yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan dalam nahas tersebut hadir dengan tangan berbalut serta beberapa kesan tampalan pada wajahnya. Ramesh baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital lima hari selepas menerima rawatan intensif.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang terlibat dalam nahas itu dalam perjalanan ke London apabila ia terhempas hanya beberapa saat selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad pada Khamis minggu lalu.
![]()
Tragedi itu telah meragut 241 nyawa, termasuk kru penerbangan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang awam apabila pesawat tersebut merempuh sebuah asrama kolej perubatan yang terletak berhampiran kawasan kediaman.
Pihak berkuasa penerbangan India kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan, dengan kerjasama pakar antarabangsa dalam bidang keselamatan penerbangan.
Nahas tersebut disifatkan sebagai antara insiden udara paling tragik pernah berlaku di India dalam tempoh sedekad.
Kredit: Reuters