Rumah tangga pelakon Edika Yusof kembali mencuri perhatian selepas timbul spekulasi bahawa dia dan bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri, kini sedang dalam usaha untuk berdamai selepas disahkan bercerai pada 5 Mei lalu.

Edika Yusof Beri Bayangan Rujuk Semula, Masih Dalam Tempoh Iddah

Menurut Edika, 58, mereka telah mengambil langkah awal ke arah perdamaian dan kini dalam fasa memikirkan hala tuju hubungan semula ketika masih berada dalam tempoh iddah. Pasangan itu juga dilaporkan telah berbincang dan melakukan muhasabah diri bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Kami masih dalam proses dan peratus untuk berbaik itu memang ada, Insya-Allah. Kami sedang tunggu dokumen berkaitan dari pihak mahkamah. Buat masa ini, kami belum tinggal bersama semula,” jelasnya ketika dihubungi media.

Tambah Edika, kesungguhan kedua-dua pihak untuk berdamai mendorong mereka untuk saling memberi ruang dan memahami kelemahan masing-masing.

“Saya tak pernah putus harapan untuk baiki hubungan ni. Bila kami bertemu, kami bincang dengan tenang, tak ada pertelingkahan pun. Malah, masing-masing cuba berikan ruang untuk memperbaiki apa yang kurang sebelum ini,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai reaksi anak-anak terhadap keputusan tersebut, Edika menyatakan mereka bersikap terbuka dan memahami keadaan yang sedang dilalui oleh ibu bapa mereka.

“Anak-anak pun sudah dewasa dan mereka tahu tentang perkara ini. Terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak kerana ini perkahwinan kami, bukan mereka.

“Ini perjalanan hidup kami, jadi kami yang akan tentukan,” katanya.

Untuk rekod, Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen Nasrulhaq dan Fareena Nurulhaq.

Kredit: mStar

[fbcomments]