Isteri kepada pempengaruh dan usahawan sensasi, Prince Syed, iaitu Fatin Syazwani Ishak, tampil memperjelaskan bahawa pembedahan bariatrik yang dijalaninya baru-baru ini tidak melibatkan paksaan daripada suaminya seperti didakwa.

Isteri Prince Syed Tampil Jelaskan Pembedahan Bariatrik Dilakukan Secara Rela

Menurut Fatin, prosedur itu dilakukan atas kemahuannya sendiri di sebuah pusat perubatan swasta di Ipoh, Perak, pada 8 Oktober lalu, dan suaminya mengetahui perkara tersebut sejak awal lagi.

Fatin menegaskan, dakwaan kononnya dia dipaksa menjalani pembedahan semata-mata untuk tujuan promosi produk pelangsingan adalah tidak benar sama sekali.

“Saya sendiri yang buat keputusan nak jalani bariatrik. Syed tak pernah paksa, malah dia tak setuju pada awalnya,” katanya sambil memohon agar orang ramai tidak menuding jari kepada suaminya. Dia turut mengakui bahawa dirinya sendiri meminta suami membantu dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan.

Tambahnya, dia terkejut apabila isu pembedahan itu dikaitkan dengan masalah rumah tangga mereka yang sedang hangat diperkatakan di media sosial. “Saya hanya nak tenang dan tak mahu isu ini diperbesarkan lagi,” katanya.

Sementara itu, Prince Syed menafikan tuduhan bahawa dia memaksa isterinya menjalani prosedur berkenaan atau menjadikannya ‘tikus makmal’. Menurutnya, pembedahan tersebut dilakukan atas kerelaan isterinya sendiri kerana tekanan emosi akibat body shaming yang pernah dialami.

“Saya tak sokong, tapi tak halang. Dia nekad, jadi saya temankan sepanjang rawatan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa isterinya kini stabil selepas dimasukkan ke hospital empat hari lalu akibat dehidrasi dan telah menjalani satu sesi dialisis. Dalam masa sama, Prince Syed menepis dakwaan bahawa dia melarikan anak-anak mereka, sebaliknya menjelaskan bahawa mereka kerap pulang ke utara dan sering singgah di rumah mentua setiap kali berkunjung ke sana.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]