Polis Kelantan mengesahkan bahawa individu yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki rakyat Malaysia di Sungai Golok, Thailand, baru-baru ini merupakan bekas penjaga gol pasukan bola sepak negeri itu.

Bekas Pemain Kelantan FC Jadi Suspek Kes Pembunuhan Rakyat Malaysia di Thailand

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, suspek berusia 31 tahun itu pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2014 sebelum kembali menyertai pasukan senior Kelantan FC pada 2019. Difahamkan, suspek juga mempunyai pengalaman bermain bersama Yala United FC dan PT Prachuap FC dalam saingan Liga Thailand.

Mohd Yusoff menjelaskan bahawa polis di Kelantan tidak terlibat secara langsung dalam siasatan memandangkan kejadian berlaku di wilayah Thailand dan suspek merupakan warganegara Thailand.

“Kami difahamkan terdapat khabar angin kononnya suspek telah menyerah diri kepada pihak polis Thailand malam tadi, namun setakat ini kami masih menunggu pengesahan rasmi daripada mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa sebarang tindakan lanjut akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand kerana kes tersebut berlaku dalam bidang kuasa mereka. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara itu walaupun berita penahanan suspek telah tular di media sosial sejak malam tadi.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]