Pelakon terkenal, Erra Fazira, kini sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E, selepas pasangan itu disatukan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pagi tadi.
![]()
Erra Fazira Selamat Bernikah Dengan Mr E, Majlis Meriah Dihadiri 300 Tetamu
Ijab kabul yang dijalankan tepat jam 9.20 pagi itu menyaksikan Erra, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin dan segalanya selesai dengan sekali lafaz. Pada hari bermakna itu, Erra turut menerima mas kahwin berupa sepokok bunga emas bersamaan 24 dinar emas.
Majlis yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang ini dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan rapat dan wakil media. Erra tampil anggun dalam busana biru rekaan pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.
![]()
Antara perkara yang mencuri perhatian ialah cara hantaran kedua-dua belah pihak dibawa masuk, iaitu dengan menggunakan talam dan ditandu ke kawasan pelamin, berbeza daripada kebiasaan majlis perkahwinan moden. Hantaran tersebut merangkumi persalinan emas, beg tangan, jam tangan dan kasut.
Pasangan ini sebelum ini mengumumkan tarikh pernikahan pada pelancaran lagu “Cinta Abadi”, manakala hubungan cinta mereka difahamkan mula terjalin sejak Ogos tahun lalu.
Kredit: OhBulan!, Malaysia Gazette