Amorphous Films Sdn Bhd secara rasmi memulakan penggambaran filem cereka terbaharu berjudul #PANTANG, sebuah naskhah komedi seram yang hadir dengan konsep segar serta pendekatan penceritaan luar daripada kebiasaan. Filem ini menyasarkan kelompok penonton Generasi X, Y dan Z, dan dilihat sebagai usaha memperkenalkan idea baharu yang lebih dekat dengan gaya hidup moden dalam landskap perfileman tempatan.

Amorphous Films Mulakan Penggambaran Filem Komedi Seram ‘#PANTANG’

Filem ini diarahkan oleh Nick Ho bersama Jon Art, sekali gus menandakan kerjasama pertama mereka dalam pembikinan sebuah karya layar perak. Dari sudut penerbitan, projek ini turut melibatkan Dato’ Chris Leong, pakar tulang yang mempunyai lebih 10 juta pengikut di Facebook, serta Dato’ Wong Siew Meng yang kini menceburi bidang perfileman. Majlis permulaan penggambaran turut dirasmikan oleh Mejar (K) David Teo, pengasas Metrowealth International Group (MIG), sebagai simbolik kolaborasi strategik antara Amorphous Films dan MIG dalam menjayakan penerbitan filem ini.

Dari segi jalan cerita, #PANTANG mengetengahkan idea mengenai kewujudan satu “entiti” dari dunia digital yang sering wujud dalam kehidupan orang ramai, namun tidak disedari. Elemen tersebut dipersembahkan melalui gabungan komedi dan seram dengan gaya penceritaan yang dijangka memberi pengalaman tontonan yang berbeza dan penuh kejutan.

Barisan pelakon utama menampilkan Baki Zainal, pelakon dan hos televisyen terkenal yang fasih berbahasa Cina, menerusi kemunculan semula dalam filem selepas tujuh tahun berehat daripada industri tersebut. Turut membintangi filem ini ialah Nina KSC, Chazy Nash dan Alyssa Dezek, pelakon serta YouTuber dengan empat juta pelanggan yang mula meneroka bidang lakonan filem sebaik menamatkan peperiksaan SPM. Selain itu, Dato’ Chris Leong dan Dato’ Wong Siew Meng juga akan muncul sebagai cameo dalam naskhah ini.

Bagi memastikan mutu lakonan sentiasa konsisten dan berkualiti, produksi ini mendapat bimbingan Ling Tang selaku jurulatih lakonan sepanjang tempoh penggambaran. Proses penggambaran dijadual berlangsung selama 26 hari melibatkan beberapa lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut pengarah Nick Ho, #PANTANG bukan sekadar sebuah filem hiburan, tetapi dirancang sebagai satu pengalaman yang mempunyai kaitan dengan realiti harian penonton masa kini, disampaikan secara santai, menghiburkan dan sarat dengan elemen kejutan.

 

 

 

 

 

[fbcomments]