Suami kepada pelakon dan usahawan, Neelofa iaitu pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial, Nurazian Abdul Talib susulan dakwaan fitnah yang melabelkan dirinya sebagai penunggang agama.

PU Riz Tuntut RM1 Juta, Pemilik Akaun Diberi 48 Jam Untuk Mohon Maaf

Menerusi peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman, PU Riz menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta berhubung dakwaan tersebut selain memberikan tempoh 48 jam kepada individu terbabit untuk memadam hantaran berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Faizal menjelaskan bahawa gelaran penunggang agama bukan tuduhan yang boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi menjejaskan reputasi serta kredibiliti seseorang, khususnya individu yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan tauliah mengajar. Menurutnya, tuduhan sedemikian amat serius apabila dilemparkan terhadap anak guamnya yang mempunyai kelayakan dalam bidang pengajian agama serta menerima pentauliahan daripada beberapa pejabat mufti.

Beliau turut memaklumkan bahawa hantaran yang menjadi pertikaian itu berjaya meraih perhatian ramai apabila jumlah tontonan meningkat sehingga 9.2 juta dalam tempoh singkat.

Justeru, pihaknya mahu kandungan tersebut diturunkan segera bagi mengelakkan reputasi PU Riz terus terjejas akibat dakwaan yang disebarkan.

Faizal berkata, Notis Tuntutan (LOD) telah diserahkan kepada Nurazian pada hari sebelumnya dengan menetapkan tempoh 48 jam untuk memenuhi tuntutan berkenaan, termasuk memadam hantaran dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Katanya, tempoh tersebut ditetapkan berdasarkan jumlah tontonan yang meningkat dengan mendadak sehingga jutaan pengguna media sosial telah melihat kandungan berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada individu terbabit ketika sidang media khas berlangsung.

Sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, Faizal menegaskan bahawa mereka akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Faizal mendakwa pemilik akaun itu mengambil kesempatan menggunakan nama PU Riz bagi mendapatkan perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan menerusi algoritma media sosial. Beliau mendakwa hantaran terdahulu individu berkenaan hanya memperoleh sekitar dua hingga lima tanda suka, namun jumlah tontonan meningkat dengan ketara apabila nama PU Riz mula dikaitkan dalam kandungannya.

Malah, Faizal turut mendakwa anak guamnya dikaitkan dengan beberapa isu pihak lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa sebuah acara di Johor baru-baru ini merupakan program agama berbayar, sedangkan menurut penjelasannya, acara tersebut sebenarnya hanyalah sesi ramah mesra. Dalam sidang media sama, Faizal turut memaparkan empat keping gambar yang dimuat naik menerusi akaun media sosial individu berkenaan dan mendakwa bahan tersebut digunakan dalam kandungan yang mengandungi unsur fitnah terhadap PU Riz.

PU Riz yang turut hadir pada sidang media itu mengambil kesempatan untuk menunjukkan dokumen asal berkaitan kelayakan pendidikannya, termasuk ijazah dalam pengajian agama daripada Open University Malaysia (OUM). Beliau juga memperlihatkan sijil pentauliahan mengajar agama yang diperoleh dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kelantan dan Sarawak bagi menjelaskan latar belakang serta kelayakannya dalam bidang tersebut.

Terdahulu, isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial. Kekeliruan timbul apabila sesi ramah mesra berkenaan didakwa sebagai program agama, sekali gus menyebabkan PU Riz menerima kecaman dan persoalan mengenai kelayakannya untuk mengajar agama.

Susulan itu, beliau turut dilabel sebagai penunggang agama oleh segelintir pengguna media sosial sehingga mendorong pihaknya mengambil tindakan undang-undang.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]