Seorang lelaki berusia 74 tahun yang merupakan pesara Kementerian Kesihatan (KKM) maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya dihanyutkan arus deras ketika melalui laluan yang dinaiki air berhampiran Sungai Kampung Kundur Hulu, Rembau, malam semalam.
![]()
Pesara KKM 74 Tahun Maut, Myvi Dipandu Dihanyutkan Arus Deras Ketika Melalui Jalan Banjir
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 9.20 malam apabila kenderaan mangsa dibawa arus ketika melalui jalan banjir berhampiran sebuah parit. Mangsa kemudian ditemukan masih terperangkap di dalam keretanya selepas kenderaan itu dihanyutkan arus deras.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau tiba di lokasi pada pukul 9.22 malam. Menurutnya, pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh waris mangsa yang memberitahu bahawa bapanya terperangkap di dalam sebuah Perodua Myvi selepas kenderaan tersebut dihanyutkan arus ketika melalui jalan berkenaan.
![]()
Operasi menyelamat turut mendapat bantuan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Kemang yang berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit.
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kredit: Kosmo!