Satu perkongsian di Threads mencetuskan kebimbangan pengguna pengangkutan awam apabila seorang penumpang berkongsi pengalaman cemas selepas terkena serpihan kaca pada bahagian kepala akibat kerosakan tingkap tren ketika dalam perjalanan menuju ke Butterworth, Pulau Pinang. Menerusi kapsyen yang dimuat naik, wanita itu memaklumkan dia masih berasa mamai dan pening selepas terkena kaca di kepala.

Penumpang Berdepan Detik Cemas Selepas Tingkap Tren Pecah, KTMB Tampil Beri Penjelasan

Menerusi akaun @alyaaanblh, wanita berkenaan turut berkongsi gambar tingkap di bahagian kiri koc yang dipenuhi rekahan serta mempunyai lubang besar. Keadaan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tahap keselamatan penumpang, khususnya sekiranya kejadian seumpama itu berlaku ketika tren sedang bergerak.

Susulan perkongsian itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan telah menerima aduan berkaitan kerosakan berkenaan. Pihaknya turut memaklumkan bahawa pemeriksaan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bagaimana tingkap koc tersebut boleh mengalami kerosakan.

KTMB dalam kenyataan sama turut memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dilakukan pada bahagian yang terjejas. Langkah itu penting bagi memastikan keadaan tren kembali selamat dan selesa untuk digunakan oleh penumpang.

“KTMB mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian kerosakan tingkap di bahagian sisi kiri sebuah koc tren yang menghala ke Butterworth. KTMB memandang serius kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tindakan pembaikan terhadap tingkap yang mengalami kerosakan juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa terpelihara,” tulis kenyataan berkenaan.

Setakat ini, belum ada penjelasan mengenai faktor yang menyebabkan tingkap tersebut pecah. Antara persoalan yang timbul dalam kalangan netizen ialah sama ada ia berpunca daripada hentaman objek dari luar atau kerosakan pada struktur tingkap itu sendiri. Perkara tersebut bagaimanapun masih memerlukan pengesahan hasil siasatan KTMB.

Kredit: Thread alyaaanblh

[fbcomments]