Pelakon dan penyanyi popular, Elly Mazlein, mendedahkan beliau pernah menolak satu tawaran kerja bernilai RM500,000 kerana syarat yang dikenakan tidak selari dengan pendiriannya selepas berhijab.

Syarat Buka Tudung, Elly Mazlein Lepaskan Tawaran Lumayan

Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 46, berkata, keputusan tersebut dibuat sejurus beliau memilih untuk menutup aurat sepenuhnya dan menganggap tawaran berkenaan bukan rezeki yang ditentukan buat dirinya.

Menurut laporan Berita Harian, beliau yang mesra disapa Kak Lina itu memaklumkan bayaran yang ditawarkan sememangnya tinggi, namun beliau tetap berpegang teguh pada prinsip untuk tidak membuka tudung walau apa jua keadaan.

Katanya, pihak berkenaan meletakkan nilai tersebut kerana sedia maklum tentang imej baharunya, namun beliau menjelaskan tidak dapat menerima sebarang kerjasama yang mensyaratkan dirinya menanggalkan tudung. Jika diberi peluang menjadi duta sekalipun, beliau menegaskan pendiriannya untuk kekal bertudung dan percaya rezekinya akan hadir melalui jalan lain.

Tambahnya, penolakan itu dibuat secara berhemah dan penuh adab walaupun pihak terbabit dilihat bersungguh-sungguh mahukan beliau menerima tawaran tersebut. Elly menekankan bahawa setiap keputusan menolak tawaran perlu disampaikan dengan cara yang baik supaya tidak menyinggung mana-mana pihak, dan bersyukur apabila keputusan itu diterima dengan baik.

Dalam masa sama, beliau menegaskan imej bertudung tidak seharusnya menjadi penghalang dalam kerjaya seni, malah beliau akan terus mempertahankan prinsip tersebut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]