Kisah menyentuh hati melibatkan pemuda dikenali sebagai Dicky Yau yang dibantu oleh Abang Minyak Hitam Jalanan selepas motosikalnya rosak sebelum ini terus mendapat perhatian ramai, termasuk daripada majikannya sendiri.

Majikan Dicky Yau Hargai Abang Minyak Hitam Jalanan, Pelawa Orang Ramai Sokong Restoran

Menerusi perkongsian di Facebook, pihak Galah Gala Seafood Restaurant tampil merakamkan penghargaan kepada mekanik tersebut kerana membantu Dicky ketika berada dalam kesulitan, malah tidak mengenakan sebarang bayaran walaupun mengetahui lelaki itu kekurangan wang pada waktu kejadian.

Dalam perkongsian sama, pihak restoran turut mempelawa orang ramai untuk datang ke premis mereka sambil berjanji akan memberikan layanan terbaik serta menyediakan setiap hidangan dengan penuh teliti dan keikhlasan. Mereka juga menyifatkan Dicky sebagai seorang pekerja yang rajin dan sentiasa bekerja keras setiap hari.

Menurut mereka, sokongan orang ramai yang ingin datang ke restoran bagi menyokong Dicky amat dihargai dan setiap kata-kata positif tersebut akan disampaikan kepadanya.

Terdahulu, kisah Dicky menjadi tular selepas dia dibantu oleh seorang mekanik jalanan ketika motosikalnya rosak dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Apa yang mencetuskan perhatian ramai adalah apabila mekanik tersebut enggan menerima bayaran selepas melihat baki wang dalam akaun Dicky yang sangat terhad.

Dalam siaran langsung di TikTok selepas kejadian itu, Dicky memaklumkan bahawa sebarang ‘gift’ yang diterimanya akan disalurkan kepada mekanik berkenaan supaya dapat membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

Kredit: Facebook Galah Gala Seafood Restaurant

 

[fbcomments]