Penyanyi, Adira Suhaimi meluahkan rasa kecewa apabila prosiding pengesahan lafaz rujuk yang difailkan bekas suaminya, Datuk Red sejak Disember lalu masih belum menemui penyelesaian.
Menurut Adira, dia berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera, namun keadaan menjadi lebih rumit selepas beberapa tuntutan dikemukakan oleh pihak bekas suaminya. Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa kes tersebut boleh ditarik balik dan pengakuan bahawa lafaz rujuk tidak berlaku boleh dibuat di mahkamah sekiranya dia bersetuju dengan syarat tertentu.
![]()
Adira Suhaimi Terkilan Kes Lafaz Rujuk Belum Selesai, Dedah Tuntutan RM100,000
Antara syarat yang didakwa dikemukakan termasuk permintaan bayaran tunai sebanyak RM100,000 serta keperluan untuk menggugurkan saman sivil yang difailkannya sebelum ini. Bagaimanapun, Adira menolak tuntutan tersebut kerana menganggap ia tidak munasabah memandangkan dia perlu menanggung empat orang anak tanpa sebarang bantuan daripada bekas suaminya.
“Malangnya saya tidak bersetuju sebab saya kerja pagi petang siang malam, ada empat tanggungan (anak-anak) di rumah dan tak pernah menyusahkan dia pun. Tergamaknya dia ya? Sanggup dia beri tuntutan terhadap bekas isteri yang bertungkus-lumus menjaga anak-anak tanpa menyusahkan dia pun sebenarnya,” katanya.
![]()
Beliau menjelaskan bahawa saman sivil berkenaan adalah berkaitan tuntutan hutang melibatkan wang pinjaman yang diberikan kepada Datuk Red selepas perceraian mereka, dengan jumlah yang mencecah ratusan ribu ringgit. Tambahnya, proses tersebut masih berjalan memandangkan terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui, termasuk faktor status kewangan bekas suaminya.
Dalam masa sama, Adira memaklumkan bahawa sebelum ini dia memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menjaga kelancaran prosiding mahkamah. Namun, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk bersuara selepas situasi yang berlaku semakin memberi tekanan kepadanya. Walaupun kes berkenaan masih berlarutan, Adira mengakui pengalaman tersebut menjadikannya lebih sabar, tenang dan matang dalam menghadapi ujian, apatah lagi dengan sokongan kuat daripada orang sekeliling.
![]()
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat telah menetapkan tarikh 25 Jun depan bagi prosiding seterusnya. Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum berpisah pada 24 April 2024, dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.
Kredit: Kosmo!