Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa ketenteraman kawasan kediamannya di Setia Alam terganggu akibat bunyi mercun yang dipasang lewat malam.

Penduduk Terkejut, Bunyi Mercun Tengah Malam Undang Rasa Tidak Puas Hati

Menerusi perkongsian yang tular, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12.50 tengah malam pada Sabtu di kawasan parkir berhampiran sebuah apartmen. Difahamkan, sekumpulan individu yang terdiri daripada pasangan pengantin, jurugambar serta beberapa individu lain dipercayai menjalankan sesi fotografi perkahwinan sambil memasang bunga api tanpa mengambil kira waktu dan keadaan sekeliling.

Situasi tersebut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk, terutamanya apabila kebanyakan mereka sedang berehat bersama keluarga.

Wanita berkenaan turut memaklumkan bahawa bunyi mercun tersebut memberi kesan kepada anak kecil yang sedang tidur, selain mencetuskan suasana bising pada waktu tidak sesuai. Lokasi kejadian dikatakan berhampiran kawasan laluan hiking bersebelahan apartmen tersebut.

Lebih membimbangkan, gangguan sama didakwa berulang pada malam berikutnya sekitar jam 2 pagi di kawasan Debayu Setia Alam, sekali lagi mengejutkan penduduk. Susulan itu, orang ramai berharap pihak terlibat dapat lebih bertanggungjawab serta peka terhadap komuniti setempat, selain menggesa agar tindakan sewajarnya diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kredit: TikTok psbyhunnyrara

[fbcomments]