Seorang wanita hamil berusia 39 tahun dilaporkan kehilangan kandungan selepas didakwa dikasari suaminya dalam kejadian di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Kes Lama Berulang, Lelaki Sama Didakwa Pukul Isteri Hamil Hingga Gugur

Mangsa yang merupakan penjawat awam kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim selepas mengalami kecederaan serius termasuk patah tangan dan jari kiri, lebam pada muka serta kecederaan di bahagian perut. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1 tengah hari susulan pertengkaran, di mana mangsa didakwa dipukul menggunakan beberapa objek seperti penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu.

Mangsa turut dipercayai ditumbuk di bahagian perut sehingga menyebabkan kandungan berusia 12 minggu tidak dapat diselamatkan. Suspek berusia 43 tahun itu juga didakwa melarikan barang kemas serta wang simpanan hampir RM50,000 sebelum menghilangkan diri, malah pasangan tersebut difahamkan baru mendirikan rumah tangga pada Disember lalu di negara jiran.

Lebih mengejutkan, suspek yang sama iaitu Rosmaini Abd Raof, dipercayai  merupakan individu yang pernah terlibat dalam kes keganasan terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin pada 4 Mei 2021 di Johor. Dalam kejadian itu, Jahidah yang sedang hamil anak pertama dipukul sehingga koma dan terpaksa melahirkan bayi lelaki secara pembedahan ketika masih tidak sedarkan diri, malah sehingga kini masih terlantar tanpa perubahan ketara.

Selepas berpisah kira-kira empat tahun, lelaki berkenaan berkahwin semula dengan mangsa terbaharu, namun kejadian hampir sama didakwa berulang. Keluarga Jahidah turut tampil bersuara, dengan adiknya, Fazariah Nordin mendakwa lelaki tersebut mempunyai sejarah keganasan sebelum ini yang tidak didedahkan, selain memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati supaya tiada lagi individu menjadi mangsa.

Kes ini kini disiasat oleh pihak polis selepas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, dengan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Kredit: Sinar Harian, Berita Harian

 

 

[fbcomments]