Seorang wanita yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila dipercayai menjadi mangsa serangan sekumpulan remaja termasuk dua pelajar perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di Kuala Sungai Baru pada Khamis lalu. Insiden berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam pada 14 Mei, menyebabkan mangsa berusia 41 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Empat Remaja Kasari Pemandu E-Hailing Selepas Didakwa Tiada Duit Tambang

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima tempahan Grab daripada empat penumpang di kawasan Bukit Rambai untuk dihantar ke Pekan Kuala Sungai Baru. Kesemua penumpang terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, yang kemudiannya menuju ke kawasan berhampiran hutan sebelum insiden berlaku.

Menurut beliau, ketika perjalanan, salah seorang suspek meminta kenderaan berhenti dengan alasan mahu mencari seseorang kerana tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian. Namun beberapa minit kemudian, tiga daripada mereka dipercayai kembali ke dalam kereta sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan objek keras.

Dalam kejadian itu, suspek perempuan dipercayai memukul mangsa menggunakan batang besi, seorang lagi remaja menarik rambut mangsa, manakala remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak menjerut leher mangsa dari belakang. Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun tidak terlibat secara langsung kerana dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mangsa mengalami lebam dan bengkak di kepala, badan, tangan serta kaki selain kesan jerutan di leher, namun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi sebelum membuat laporan polis. Beliau kemudian mendapatkan rawatan di hospital.

Susulan kejadian itu, polis menahan kesemua remaja terbabit pada petang hari sama dan mereka kini direman sehingga esok sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan, selain menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dengan kegiatan tidak sihat yang boleh menjejaskan masa depan.

Kredit: Malaysia Gazette

 

[fbcomments]