Suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga apabila seorang bapa terpaksa berdepan detik paling menyayat hati selepas melihat sendiri keadaan anak sulungnya yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu pada Selasa.
![]()
Bapa Sebak Temui Kepala Anak Terputus Bawah Kaki Dalam Kemalangan Di Kuala Terengganu
Dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, Wah Tee Tun, 49, berkata dia cuba mengejutkan anaknya sejurus selepas kemalangan berlaku, namun terkejut apabila mendapati kepala mangsa sudah terputus akibat rempuhan kuat dalam insiden berkenaan.
“Saya cuba panggil dan gerakkan badan anak saya, tetapi saya dapati kepalanya sudah terputus dan berada di bawah kaki,” katanya sebak.
Menurutnya, ketika kejadian mereka sedang dalam perjalanan ke bandar bagi melakukan kerja pendawaian sebelum sebuah Volkswagen Golf GTI dari arah bertentangan dipercayai dipandu laju lalu hilang kawalan. Kenderaan tersebut dilaporkan merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar tiang lampu sehingga patah dan tercampak ke arah van dinaiki mereka.
![]()
Tiang berkenaan kemudian terkena tepat pada bahagian leher anaknya, Wah Han Keong, 18, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada leher, manakala tubuhnya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius lain.
Mangsa yang menetap di Banggol Peradong, Manir difahamkan baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang menunggu keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Menurut bapanya, keputusan UPU dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan segala persiapan untuk menyambung pengajian sudah dilakukan. Han Keong dikatakan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang automotif di Politeknik Dungun atau institusi sama di Kota Bharu, Kelantan.
![]()
Tee Tun menggambarkan anak sulungnya itu sebagai seorang yang rajin bekerja, jujur serta sentiasa membantu keluarga selepas tamat persekolahan. Katanya, mendiang juga tidak pernah melawan walaupun dimarahi ketika bekerja dan sangat rapat dengan ibunya. Dalam masa sama, keluarga memaklumkan mereka bercadang mengambil tindakan undang-undang menerusi peguam kerana mendakwa kemalangan tersebut bukan berpunca daripada mereka selain mempunyai rakaman video kejadian sebagai bukti.
Mayat mangsa dijadual dibawa pulang ke Kelantan pada Khamis bagi urusan pengebumian. Dalam insiden itu, tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dirempuh turut tumbang dan menembusi van dinaiki mangsa sehingga mengorbankan penumpang hadapan, manakala dua lagi individu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Kredit: Sinar Harian