Sebuah bangunan menyerupai flat di Sungai Tekali, Hulu Langat yang sebelum ini tular di media sosial akan dirobohkan pihak berkuasa selepas didapati dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik individu serta kawasan rizab jalan dan sungai.

Pihak Berkuasa Akan Roboh Bangunan Flat Tidak Sah di Sungai Tekali

Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kawasan tersebut sebenarnya telah lama dijalankan sejak beberapa tahun lalu. Menurut beliau, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat telah mengeluarkan beberapa notis amaran kepada pemilik struktur berkenaan pada tahun 2017, 2020, 2021 dan juga yang terbaru pada 13 Mac 2025.

Beliau menjelaskan, pada tahun 2017 juga pernah dijalankan operasi perobohan bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk PDT Hulu Langat, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Operasi itu dibuat selepas beberapa pelanggaran peraturan dikesan di kawasan terbabit.

Tambah beliau, MPKj turut mengeluarkan notis dan kompaun pada tahun 2019, 2020 dan 2021 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana pembinaan tanpa kebenaran. LUAS pula membuka kertas siasatan pada tahun lalu di bawah Enakmen LUAS 1999 terhadap pihak yang dipercayai bertanggungjawab, dengan tindakan undang-undang termasuk denda atau penjara boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Dalam masa yang sama, operasi penguatkuasaan turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ops Kutip pada 28 Februari tahun lalu. Hasil operasi itu, seramai 42 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan merobohkan bangunan berkenaan akan dijalankan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Sebelum ini, struktur tersebut tular selepas didakwa seperti bangunan flat usang dan dipercayai pernah disewakan kepada warga asing sejak tahun 2016 dengan kadar sekitar RM600 hingga RM700 sebulan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]