Perkembangan terbaharu kes kemalangan maut yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam–Simpang Renggam pada 1 Jun lalu menyaksikan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya sementara menunggu tarikh pendakwaan ditetapkan.
![]()
Remaja Terlibat Nahas Ragut Empat Nyawa Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
Menurut beliau, kertas siasatan kes berkenaan telah lengkap dan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Remaja terbabit sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan susulan kemalangan yang dipercayai berlaku ketika dia dan abangnya memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan nahas tragis tersebut.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73, Nor Azlina Abd Latip, 33, Aiman Mohd Rashid, 36, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, dilaporkan maut. Abang kepada suspek yang berusia 22 tahun turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas terlibat dalam kemalangan sama.
![]()
Susulan insiden berkenaan, remaja tersebut telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes kini menunggu tindakan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Kredit: Utusan, BERNAMA