Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun telah direman selama enam hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melibatkan kesalahan seksual terhadap cucu perempuannya yang berusia 13 tahun.
![]()
Pesara 67 Tahun Direman Enam Hari Kes Dakwaan Gangguan Seksual Cucu
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass di Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas pihak polis membuat permohonan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kes ini mula diketahui umum selepas mangsa dipercayai berkongsi pengalaman yang dialaminya kepada ibunya, sebelum laporan polis dibuat beberapa hari lalu.
Menurut maklumat awal siasatan, mangsa sebelum ini tinggal bersama datuknya di sebuah kediaman di daerah Batu Pahat selepas ibu bapanya berpisah. Namun begitu, pada April lalu, remaja terbabit telah dibawa pulang oleh ibunya ke sebuah negeri di utara Semenanjung.
![]()
Siasatan turut mendapati ibu mangsa mula berasa curiga selepas melihat anaknya berhubung dengan seorang kenalan melalui aplikasi mesej. Pada awalnya, mangsa tidak menceritakan perkara sebenar, namun kemudian dipercayai mengakui pernah mengalami kejadian yang melibatkan datuknya sendiri.
Pihak siasatan juga mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku dalam tempoh tahun lalu, dengan insiden terakhir dilaporkan berlaku pada bulan Disember tahun yang sama. Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.
![]()
Terdahulu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita memarahi bapanya berhubung dakwaan tersebut turut mencetuskan perhatian orang ramai, sebelum pihak berkuasa mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Kredit: Sinar Harian, Threads mommy_five28