Seorang pengguna TikTok telah ditahan polis selepas dipercayai membuat kenyataan yang mengandungi unsur fitnah serta mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berkaitan isu penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.

11 Laporan Polis Diterima, Lelaki TikTok Ditahan Bantu Siasatan

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh kira-kira jam 1 tengah hari pada Khamis. Menurutnya, pihak polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di mahkamah pada Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Setakat ini, polis telah menerima sebanyak 11 laporan berkaitan isu berkenaan.

Terdahulu, suspek didakwa membuat kenyataan secara siaran langsung di TikTok dengan mendakwa kononnya Jaslinda “dijaga” oleh Tok Batin selama dua minggu sebelum ditemui penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh. Dakwaan itu bagaimanapun mencetuskan rasa tidak puas hati apabila kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari beberapa daerah tampil membuat laporan polis.

Walaupun lelaki berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka, pihak polis menegaskan siasatan tetap diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]