Polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian membabitkan sebuah peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga gerai nasi lemak di Jalan Lebuh Meru Raya, Ipoh yang sebelum ini tular di media sosial.

Dua Suspek Curi Peti Wang Peniaga Nasi Lemak Berjaya Diberkas Polis

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada 21 Mei lalu ketika mangsa sedang melayan pelanggan di gerainya. Ketika mangsa sibuk membungkus nasi, dua lelaki yang menaiki motosikal dipercayai mengambil peti wang yang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan akhirnya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek di Teluk Intan pada 8 Jun lalu. Suspek yang ditahan masing-masing merupakan lelaki tempatan berusia 24 dan 36 tahun.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Mereka juga dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa lagi kes jenayah yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah Ipoh.

Muhammad Najib berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga 12 Jun 2026 bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak polis sehingga membawa kepada kejayaan menahan suspek. Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada serta memastikan wang dan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Terdahulu, seorang peniaga gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas menjadi mangsa kecurian pada 21 Mei lalu. Kes tersebut mendapat perhatian ramai selepas rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan kejadian itu tersebar di media sosial, sekali gus membantu pihak polis menjalankan siasatan dan mengesan individu yang dipercayai terlibat.

Kredit: Facebook Polis Daerah Ipoh

[fbcomments]