Jenazah 27 mangsa etnik Rohingya yang terkorban dalam tragedi bot karam di perairan Langkawi pada November tahun lalu telah selamat disempurnakan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama, Tualang di Pokok Sena pada Khamis.
![]()
27 Jenazah Mangsa Bot Karam Rohingya Selamat Dikebumikan
Kejadian itu sebelum ini melibatkan sebuah bot yang dipercayai membawa kira-kira 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Bangladesh dan Rohingya. Bot berkenaan dilaporkan pecah ketika berada di perairan berhampiran sempadan Malaysia–Thailand, dipercayai ketika cuba memasuki negara ini secara tidak sah.
![]()
Kesemua jenazah melibatkan 13 lelaki dan 14 wanita itu selesai dikebumikan sekitar jam 7.30 pagi dalam keadaan tertib serta mengikut hukum dan prosedur pengurusan jenazah Islam. Proses pengebumian dilaksanakan di bawah pemantauan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) serta mengikut kaedah “temporary control burial” (TBC) atas nasihat pihak hospital.
![]()
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata proses pengurusan 27 jenazah itu dimulakan sejak jam 10 malam sebelumnya dan selesai sepenuhnya sekitar jam 7 pagi. Menurut beliau, siasatan berkaitan kejadian termasuk punca sebenar, laluan kemasukan serta pihak yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran masih diteruskan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Kredit: Berita Harian, BERNAMA