Baru-baru ini tular sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki meninggikan suara di hadapan sebuah restoran makanan segera sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

https://x.com/bckupacc99/status/2066901028004663549?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw

Video Lelaki Tinggikan Suara Di Restoran Tular, Wanita Tampil Jelaskan Kejadian Sebenar

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, lelaki berkenaan dilihat datang ke lokasi tempat isterinya bekerja dengan menaiki motosikal sambil membawa seorang kanak-kanak yang dipercayai anak mereka. Dalam rakaman itu, lelaki terbabit didakwa memaksa isterinya pulang walaupun wanita berkenaan sedang bertugas.

Kedengaran wanita tersebut merayu agar suaminya menjaga anak mereka terlebih dahulu kerana dia masih bekerja dan tidak dapat menguruskan kanak-kanak itu ketika itu. Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat terus bercakap dengan nada tinggi sebelum wanita tersebut membawa anak mereka masuk ke dalam premis berkenaan. Tidak lama selepas itu, dia kembali semula ke arah motosikal suaminya sebelum kedua-duanya beredar dari lokasi.

Susulan video tersebut menjadi tular dan mengundang kecaman ramai, wanita yang bekerja di restoran makanan segera itu tampil menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

Menerusi satu rakaman suara yang dikongsikan oleh pengguna Threads dikenali sebagai Apaujb, wanita berkenaan memaklumkan insiden itu sebenarnya berlaku kira-kira empat bulan lalu dan bukannya kejadian baharu seperti yang disangka ramai.

Menurutnya, pelbagai cerita yang tersebar selepas video tersebut tular telah ditambah-tambah sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

Wanita itu turut menafikan dakwaan bahawa anak mereka menangis kerana dimarahi bapanya. Sebaliknya, dia menjelaskan kanak-kanak tersebut menangis selepas terjatuh di kawasan yang mempunyai batu-batu kecil.

Katanya, sebaik menyedari kejadian itu, dia terus mendapatkan dan mendukung anak mereka. Namun, ada pihak yang membuat andaian bahawa suaminya sedang memarahi kanak-kanak tersebut sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Dalam masa sama, wanita berkenaan menjelaskan suara suaminya sememangnya kuat ketika bercakap dan perkara itu telah lama diketahui olehnya sepanjang mereka hidup bersama.

Menurutnya lagi, orang ramai yang menonton video tersebut mungkin menganggap suaminya sedang marah atau mengajak bergaduh, sedangkan cara percakapan lelaki itu memang begitu secara semula jadi.

Mengulas punca suaminya datang ke tempat kerja pada hari kejadian, wanita itu berkata situasi tersebut berlaku kerana mereka berdepan kekangan masa yang tidak dapat dielakkan. Jelasnya, dia perlu bekerja lebih masa sehingga jam 7 malam, manakala suaminya pula dijadualkan memulakan syif kerja pada waktu yang sama.

Disebabkan keadaan itu, suaminya meminta supaya dia mengambil anak mereka terlebih dahulu kerana lelaki tersebut perlu segera bergerak ke tempat kerja bagi memulakan tugas.

Kredit: Thread apaujb

[fbcomments]