Empat kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun maut akibat lemas selepas dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam sebuah longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, semalam.

Empat Kanak-Kanak Maut Ketika Cuba Ambil Bola Dalam Longkang

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa keluar dari rumah untuk bermain bola. Ketika sedang bermain, bola berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum mereka cuba mengambilnya dan akhirnya terjatuh ke dalam longkang tersebut.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, bersama adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

Menurut Syamsul, longkang berkenaan dianggarkan mempunyai kedalaman kira-kira 10 kaki atau lebih tiga meter, manakala lebarnya sekitar enam kaki bersamaan 1.82 meter.

“Hasil temubual ibu mangsa mendapati kesemua mereka telah keluar dari rumah untuk bermain bola. Selepas itu, dipercayai bola terjatuh ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola tersebut sebelum terjatuh ke dalam longkang. Semasa kejadian tidak ada saksi yang melihat kejadian itu berlaku,” katanya.

Dua mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa masing-masing berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.

Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian di media sosial selepas beberapa gambar dan video tular, memaparkan beberapa individu membawa naik mangsa dari kawasan longkang dan kolam tadahan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]