Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas dipercayai ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah teres setingkat di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, pada malam tadi.
![]()
Didakwa Cemburu, Lelaki Tikam Isteri 13 Kali Sebelum Serah Diri Di Balai Polis
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku susulan pertengkaran antara pasangan itu yang berkaitan isu cemburu dan masalah rumah tangga. Menurutnya, suspek berusia 43 tahun dipercayai menikam isterinya sebanyak 13 kali menggunakan sebilah pisau lipat, dengan tujuh tikaman pada bahagian dada, lima pada perut dan satu pada rusuk kanan.
“Suspek kemudian mandi sebelum mengambil anak mereka yang berusia tiga tahun daripada pengasuh dan menghantarnya kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang. Suspek turut memberitahu kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Syamsul berkata, suspek menyerah diri kira-kira jam 8.40 malam dan mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan, selain menyerahkan pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa.
Suspek kemudiannya ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di Balai Polis Lunas kira-kira jam 9 malam. Mangsa pula dibawa keluarganya ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam.
![]()
Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan yang dipercayai darah pada cadar, tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil dalam bilik tidur utama.
Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut mengambil 11 sampel berkaitan kejadian, manakala pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes. Siasatan turut mendapati jiran tidak mendengar sebarang pertengkaran dipercayai kerana keadaan hujan lebat ketika kejadian.
Dalam pada itu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah. Suspek yang berasal dari Parit Buntar, Perak, juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah dan kini berstatus penganggur.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kredit: Harian Metro