Bapa kepada pelajar berusia 15 tahun yang menjadi mangsa kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting menyifatkan insiden yang menimpa anaknya sebagai sesuatu yang amat mengejutkan dan langsung tidak dijangka.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau menerima panggilan daripada guru kelas anaknya kira-kira jam 9.30 pagi ketika sedang bekerja yang memaklumkan mangsa telah ditikam, sebelum beliau segera bergegas ke Hospital Banting untuk melihat keadaan anaknya.
![]()
Pelajar Ditikam Lebih 14 Kali, Bapa Percaya Anak Bukan Sasaran Utama
Menurutnya, ketika tiba di hospital, mangsa berada dalam keadaan serius dan menjalani pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap kecederaan. Hasil pemeriksaan mendapati paru-paru kiri anaknya turut terkena tikaman dan mangsa dijadual menjalani prosedur mengeluarkan darah yang terkumpul akibat kecederaan tersebut. Walaupun mengalami kecederaan serius, mangsa kini berada dalam keadaan sedar dan masih mampu bercakap.
Mohd Firuz berkata, anaknya dipercayai mengalami kira-kira 14 kesan tikaman di bahagian belakang badan, selain cedera pada muka, bibir dan telinga. Beliau memaklumkan mangsa mengenali suspek kerana pernah belajar dalam kelas yang sama pada tahun lalu, namun tidak mengetahui motif sebenar kejadian. Menurutnya, beliau percaya anaknya mungkin bukan sasaran utama, sebaliknya berada paling hampir dengan suspek ketika insiden berlaku sehingga tidak sempat menyelamatkan diri.
![]()
Mengulas kejadian itu, seorang pelajar mendakwa insiden berlaku ketika waktu rehat pelajar Tingkatan Tiga, sejurus mangsa selesai membeli roti di kantin sekolah. Menurutnya, suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum suasana bertukar kecoh. Pelajar-pelajar yang berada di lokasi bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sebaik kejadian berlaku, sebelum pihak sekolah mengarahkan semua pelajar berkumpul di padang sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan. Suspek berusia 15 tahun yang difahamkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan, dipercayai memasuki kawasan sekolah sebelum kejadian berlaku. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
![]()
Sementara itu, insiden berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang hadir ke sekolah terbabit kira-kira jam 1 petang bagi meninjau perkembangan kejadian. Mohd Firuz pula berharap aspek keselamatan di sekolah dipertingkatkan, khususnya di pintu masuk dengan melaksanakan pemeriksaan atau tapisan terhadap setiap individu yang memasuki kawasan sekolah supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.
Kredit: Sinar Harian