Seorang lelaki maut manakala dua anaknya mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Cicar, Kemaman, malam semalam.

Bapa Maut, Dua Anak Cedera Parah Ketika Pulang Keluar Makan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 malam apabila mangsa, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala serta beberapa anggota badan.

Beliau berkata, dua anak mangsa yang membonceng motosikal berkenaan, Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, turut mengalami kecederaan serius terutama pada bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

Menurutnya, tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang selepas selesai makan malam di sebuah kedai berhampiran sebelum kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun,” katanya.

Mohd Razi berkata, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai gagal mengelak pelanggaran berikutan jarak yang terlalu dekat, menyebabkan bahagian hadapan motosikal dirempuh.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat, manakala dua anaknya masih menerima rawatan di hospital sama. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]