Kejujuran seorang lelaki menjadi perhatian selepas dia memilih untuk memulangkan wang berjumlah ribuan ringgit yang tersalah dimasukkan ke akaun banknya, walaupun boleh sahaja menganggap wang tersebut sebagai rezeki tidak disangka.

Kejadian itu berlaku sekitar tahun 2004 apabila Ryan Yong menyedari jumlah gaji yang diterimanya berbeza daripada sepatutnya. Dia sepatutnya menerima bayaran sebanyak RM1,700, namun jumlah yang masuk ke akaunnya terlebih satu angka sehingga menjadikan amaun tersebut mencecah kira-kira RM17,000.

Duit Masuk Akaun Lebih RM17,000, Lelaki Pilih Pulangkan Semula

Menurut Ryan, dia berulang kali menyemak baki akaunnya kerana tidak percaya dengan jumlah wang yang diterima. Selepas memastikan transaksi itu bukan miliknya, dia mengambil keputusan untuk memulangkan semula wang berkenaan keesokan harinya.

“Saya periksa baki akaun berkali-kali sebelum berkata kepada diri sendiri, ‘Ini bukan duit saya’. Keesokan harinya saya terus ke bank dan pulangkan setiap sen wang itu,” katanya.

Pada awalnya, Ryan menyangka urusan tersebut sudah selesai. Namun, tidak lama kemudian dia menerima panggilan daripada seorang pegawai bank wanita yang kedengaran sebak dan berkali-kali mengucapkan terima kasih atas tindakannya.

Pegawai tersebut memaklumkan kesilapan berlaku ketika proses pembayaran gaji apabila dia tersilap menambah satu angka sifar, menyebabkan lebihan wang sebanyak RM15,698 dimasukkan ke akaun Ryan. Sekiranya wang itu tidak dipulangkan, kesilapan tersebut berkemungkinan menyebabkan pegawai berkenaan perlu menanggung kerugian besar dan berdepan kesan terhadap kerjayanya.

Ryan menjelaskan, pada waktu itu gaji seorang pegawai bank dianggarkan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, menjadikan jumlah wang yang dipulangkan itu hampir bersamaan dengan pendapatan setahun. Beberapa hari selepas kejadian, pihak bank turut menghantar surat penghargaan kepada Ryan sebagai tanda terima kasih atas kejujuran dan tindakan bertanggungjawab yang dilakukannya.

Walaupun kejadian tersebut sudah berlalu lebih dua dekad, Ryan masih menyimpan surat berkenaan kerana baginya ia bukan sekadar penghargaan, tetapi menjadi kenangan bahawa dia pernah membuat pilihan yang tepat.

Kredit: Facebook Ryan Yong, Kosmo!

[fbcomments]