Seorang murid Tahun Satu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, Kluang pada petang semalam.

Murid Tahun Satu Maut Dilanggar Bas Sekolah di Kluang, Pemandu Pengsan

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Umar Mohd Faaiz, 7, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu melibatkan sebuah bas sekolah jenis Hino yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 36 tahun. Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pemandu bas telah menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya sebelum meneruskan perjalanan dengan membelok ke Jalan Bunga Raya 3.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai berada di bahagian kiri jalan ketika bas tersebut sedang membelok, menyebabkan dia dilanggar kenderaan berkenaan. Akibat pelanggaran itu, kanak-kanak tersebut terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan serius di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut memaklumkan pemandu bas akan ditahan bagi menjalani ujian saringan air kencing. Wanita berusia 36 tahun itu dilaporkan pengsan selepas dipercayai terkejut melihat kejadian berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom.

Dalam pada itu, polis mengingatkan semua pemandu bas sekolah supaya memastikan setiap murid benar-benar berada di kawasan yang selamat sebelum meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mengamalkan sikap bertimbang rasa serta mematuhi peraturan jalan raya demi menjamin keselamatan semua pihak.

Insiden itu juga menjadi peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati ketika berada berhampiran jalan raya, terutama di kawasan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori yang mempunyai titik buta yang luas sehingga menyukarkan pemandu melihat kanak-kanak yang berada berhampiran kenderaan.

Kredit: Malaysia Gazette

[fbcomments]