Seorang bekas anggota tentera terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya kepada penjara selama 40 tahun serta 12 sebatan kerana membunuh anak perempuan kandungnya, lapan tahun lalu.
![]()
Bekas Tentera Terlepas Hukuman Mati, Dipenjara 40 Tahun Atas Kes Bunuh Anak Kandung
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang pada masa sama mengekalkan sabitan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. Hakim Nordin ketika menyampaikan keputusan berkata, mahkamah mendapati tiada berlaku ketidakadilan dalam prosiding terdahulu yang membawa kepada sabitan terhadap tertuduh, sekali gus memutuskan sabitan berkenaan kekal.
Bagaimanapun, berhubung hukuman, beliau memaklumkan terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan panel hakim apabila dua hakim lain, iaitu Datuk Seri Vazeer Alam dan Datuk Mohd Nazlan, berpandangan hukuman mati yang dikenakan sebelum ini wajar digantikan dengan hukuman penjara.
Menurut Hakim Nordin, beliau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat hukuman mati sepatutnya dikekalkan memandangkan kes berkenaan adalah serius. Namun, beliau berkata Mohammad Abdullah bernasib baik apabila keputusan majoriti panel hakim memilih untuk menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara.
“Mereka berpandangan hukuman yang sesuai bagi kes ini ialah penjara selama 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2018 serta 12 sebatan,” katanya.
![]()
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban pada 22 Ogos 2023 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas mendapati dia bersalah membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9, di sebuah rumah di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kesalahan itu dipercayai berlaku antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 31 Januari 2018.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025 sebelum kes tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk rayuan terakhir.
Dalam prosiding terdahulu, peguam yang mewakili Mohammad Abdullah, Afifuddin Ahmad Hafifi berhujah bahawa sabitan terhadap anak guamnya tidak selamat kerana mahkamah sebelum ini menerima keterangan saksi pendakwaan ke-18 (SP18), iaitu abang kepada mangsa, tanpa menjalankan ujian kompetensi bagi menentukan tahap keupayaan saksi tersebut memberikan keterangan.
Menurut beliau, kebolehan saksi memberikan jawapan yang munasabah dan rasional sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan keterangannya diterima secara bersumpah. Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya pernah membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan memohon agar Mohammad Abdullah diberikan peluang kedua.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa SP18 yang ketika itu berusia 15 tahun memahami setiap soalan yang diajukan sepanjang perbicaraan dan mampu memberikan keterangan berkaitan kejadian.
![]()
Menurut beliau, berdasarkan keterangan saksi, mangsa dan abangnya pernah dihukum oleh tertuduh kerana tidak menunaikan solat. Hukuman tersebut termasuk diarahkan melakukan aktiviti fizikal seperti tekan tubi dan bangkit tubi sebanyak 500 kali.
Katanya, apabila mangsa tidak mampu meneruskan hukuman itu, tertuduh dipercayai bertindak menendang serta memijak bahagian perut mangsa sehingga menyebabkan pankreasnya pecah. Mangsa turut mengalami patah tulang rusuk, kesan cekikan pada leher serta kecederaan akibat hentakan di kepala.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 23 kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan menegaskan bahawa unsur penderaan jelas berlaku dalam kes berkenaan.
Wan Shaharuddin turut berhujah bahawa tertuduh tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan dan tidak wajar diberikan peluang kedua berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
Selepas prosiding, beliau memaklumkan pihak pendakwaan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dan menyifatkan hukuman penjara 40 tahun yang dikenakan tetap berat kerana memberi peluang kepada tertuduh untuk merenung kembali perbuatannya terhadap anak sendiri.
“Saya bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman itu, dia perlu memikirkan apa yang telah dilakukan terhadap anaknya. Itu lebih teruk daripada hukuman mati,” katanya.
Kredit: BERNAMA