Bayi kepada keluarga pempengaruh cilik, Bang Aji atau Muhammad Aniq, 5, hanya sempat bersama keluarga selama 49 hari sebelum meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Bapanya, Mohd Redzuan Zainol, 41, berkata meskipun masih terkejut dengan pemergian anak kelimanya itu, dia dan isteri cuba menerima ketentuan tersebut dengan reda.

Bayi Kayla Meninggal Dunia Selepas 49 Hari Akibat Tersedak Susu

Menurut Mohd Redzuan, dia menerima panggilan daripada isterinya sekitar jam 9 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan keadaan bayi mereka sudah sejuk dan tidak bergerak.

Dia yang ketika itu berada di tempat kerja segera pulang ke rumah sebelum cuba memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada anaknya. Bagaimanapun, ketika cuba menyelamatkan bayi berkenaan, dia mendapati terdapat cecair berwarna merah jambu keluar dari hidung, yang dipercayainya mungkin susu yang telah bercampur dengan darah.

“Ketika itu saya terus cuba buat CPR. Apa yang saya nampak, ada cecair warna merah jambu keluar dari hidung. Kemungkinan susu yang sudah bercampur dengan darah,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, kali terakhir isterinya memaklumkan bahawa bayi tersebut menyusu adalah sekitar jam 6 pagi pada hari sama. Bayi itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Guar Chempedak sebelum dirujuk ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun, bayi berkenaan disahkan telah meninggal dunia dan keluarga kemudian diarahkan menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada keesokan harinya.

Menurut Mohd Redzuan, pihaknya dimaklumkan bahawa keputusan laporan bedah siasat mungkin hanya dapat diperoleh dalam tempoh tiga bulan, bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi tersebut.

Dia turut mengakui berasa terkilan apabila jenazah anaknya perlu melalui proses bedah siasat kerana pada awalnya keluarga tidak mahu melakukannya.

Bagaimanapun, katanya, keluarga dimaklumkan bahawa arahan tersebut tidak boleh dibatalkan kerana ia merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi.

Selepas selesai proses berkenaan, jenazah bayi tersebut dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wusthasekitar jam 2 petang pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan turut menjelaskan mengenai beberapa rakaman yang pernah dimuat naik di media sosial membabitkan Bang Aji bersama adiknya.

Menurutnya, kesemua rakaman tersebut dibuat sepanjang tempoh 49 hari kehidupan bayi berkenaan, termasuk video yang menunjukkan Bang Aji membantu adiknya minum susu menggunakan botol. Beliau berkata, video berkenaan berdurasi kurang daripada 30 saat dan dirakam ketika dirinya turut berada bersama mereka.

Namun, terdapat segelintir pengguna media sosial yang salah faham serta meninggalkan komen yang mengaitkan tindakan Bang Aji memberi susu dengan keadaan bayi tersebut.

Mohd Redzuan menegaskan perkara itu tidak berlaku seperti yang didakwa kerana bayi Kayla sebenarnya diberikan susu ibu sepenuhnya. Katanya, penggunaan botol hanya dilakukan ketika ibunya tiada dan susu ibu tersebut perlu diberikan menggunakan botol.

Beliau turut menjelaskan bahawa rakaman tersebut dibuat lebih awal dan bukan sebelum kejadian kematian berlaku, seperti yang mungkin disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Pada masa sama, Mohd Redzuan berkata kelahiran Kayla sebelum ini tidak banyak dikongsikan kepada umum kerana keluarga mengambil keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan bayi tersebut di media sosial.

Menurutnya, video yang dimuat naik selepas pemergian Kayla pula sekadar menjadi kenang-kenangan buat keluarga, bukannya untuk meraih perhatian.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]