Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun didakwa dipukul di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telinga serta gangguan pendengaran.

Ejek-Mengejek Dipercayai Punca Pelajar 15 Tahun Dipukul, Berisiko Hilang Pendengaran

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini antara pelajar yang saling mengenali di sekolah sama. Menurut beliau, polis telah menerima laporan yang dibuat oleh ibu mangsa serta pelajar terbabit sebelum membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Mangsa dikenali sebagai Adryz Adrian, 15, yang sebelum ini didakwa menjadi mangsa buli dan dipukul di sekolah. Ibunya, Nurhaswaty Zamani, 43, mendakwa kejadian tersebut menyebabkan anak tunggalnya mengalami kecederaan pada kepala dan telinga. Malah, mangsa dilaporkan mengalami gangguan pendengaran selepas kejadian dan berdepan risiko kehilangan pendengaran. Dia kini mendapatkan rawatan serta menjalani pemeriksaan susulan bagi memantau keadaan kesihatannya.

Susulan laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan daripada pihak berkaitan termasuk mangsa dan saksi.

Dalam perkembangan siasatan, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang merupakan pelajar di sekolah sama telah ditahan bagi membantu siasatan. Suspek kemudiannya direman sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara polis melengkapkan kertas siasatan.

Shazeli berkata, hanya seorang suspek setakat ini ditahan berhubung kes berkenaan. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai suspek memandangkan kes tersebut melibatkan individu yang masih di bawah umur. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan kesalahan ugutan dan menyebabkan kecederaan.

Pada masa sama, polis masih menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai tahap kecederaan yang dialami mangsa, khususnya berkaitan masalah pendengarannya. Menurut Shazeli, siasatan masih berjalan dan semua keterangan serta maklumat berkaitan kejadian sedang dikumpulkan sebelum kertas siasatan dilengkapkan.

Setelah lengkap, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan serta tindakan selanjutnya.

Kredit: Astro Awani, Sinar Harian

[fbcomments]