Seorang penghantar barang dan seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas dakwaan menyebabkan kesakitan kepada seekor anjing pada akhir Julai lalu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S Roghini Devi, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
![]()
Dua Individu Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Menjerut & Menarik Anjing Hingga Menyebabkan Kematian
Muhammad Shah Idham didakwa menggunakan tali loop untuk menjerut seekor anjing jantan secara tidak munasabah sehingga menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu. Roghini pula didakwa menarik anjing yang sama sehingga mengalami kesakitan. Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu, di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama. Jika disabitkan, mereka berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran, mencadangkan jaminan RM20,000 setiap seorang, selain meminta mahkamah mengenakan syarat supaya kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke JPV Selangor sebulan sekali.
![]()
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham dan Jeremy Vinesh Anthony bagi Roghini pula memohon jumlah jaminan lebih rendah, masing-masing mencadangkan RM3,500.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM6,000 setiap seorang dengan syarat melaporkan diri ke JPV Selangor sebulan sekali. Kes akan disebut semula pada 8 Oktober.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Roghini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Pertuduhan itu didakwa dilakukan di alamat sama pada kira-kira 10.50 malam, 29 Julai lalu, mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007. Jika sabit kesalahan, Roghini boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara maksimum setahun, atau kedua-duanya.
![]()
Timbalan Pendakwa Raya, Salman Al Farisi Nawawi, mencadangkan jaminan RM2,000, manakala peguam Jeremy memohon RM500 dengan alasan anak guamnya baru sahaja dikenakan jaminan RM6,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Majistret A Karthiyayini bagaimanapun menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia. Sebutan semula bagi kes di kedua-dua mahkamah ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Kredit: Berita Harian