Ibu kepada Yap Shing Xuen, 16, Wong Lee Ping menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh anaknya di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu.
![]()
Mangsa Bunuh Rayu AGC Pertimbang Semula Keputusan Bebas Remaja
Menerusi hantaran di Facebook, Lee Ping turut mengajak orang ramai menandatangani petisyen serta mengemukakan rayuan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi mendesak AGC mempertimbangkan rayuan berkenaan.
Menurutnya, keluarga menghormati mahkamah dan proses kehakiman, namun mempunyai keterbatasan untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang.
“Kami bukan hakim dan bukan pendakwa raya tetapi hanya sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan,” katanya.
![]()
Lee Ping berkata keputusan membebaskan remaja terbabit menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan buat mangsa selain keselamatan pelajar lain di sekolah.
Katanya, peguam juga mempunyai keterbatasan dalam membantu keluarga kerana keputusan sama ada rayuan perlu difailkan dan bagaimana ia perlu diteruskan tertakluk kepada pihak pendakwaan serta proses undang-undang.
Beliau berharap lebih ramai individu prihatin, pengamal perundangan serta mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam undang-undang jenayah dan prosiding rayuan tampil memberikan bantuan serta panduan kepada keluarga.
![]()
“Kami tidak meminta sesiapa membuat keputusan awal berhubung kes ini. Kami hanya berharap AGC mempertimbangkan dengan serius untuk mengemukakan rayuan sekiranya terdapat ruang di sisi undang-undang dan suara seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya akan didengari,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan remaja berkenaan selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian.
![]()
Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi menjalani rawatan.
Remaja terbabit didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.
Kredit: Berita Harian